04 August 2010

Majunya wanita...lelaki kemana?

Diari ini ingin berbicara sedikit tentang keadaan semasa hari ini yang melibatkan perempuan dan lelaki. Minggu lepas telah dianjurkan satu kursus kepimpinan pelapis untuk badan badan berkanun dan sektor kerajaan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Ketika majlis berjalan, semua dapat merasakan satu suana pelik pabila dewan dipenuhi oleh kaum wanita iaitu mereka yang terdiri daripada barisan pelapis yang akan mengambil tampuk kepimpinan dalam tempoh terdekat; yakni pabila ketua-ketua jabatan sedia ada kelak bersara.

Ada yang mula berbisik..apa lagi yang dimahukan oleh wanita pabila berkata mahukan kuota 30% di peringakt pembuat keputusan kerana kalau dilihat dari senario dan keadaan itu, bukan sahaja 30%, malah tidak menjadi masalah lagi untuk wanita membolot 70-80% kerusi pembuat keputusan di peringkat kerajaan dalam masa terdekat. Dengan sinis ramai berkata lelaki yang memerlukan kuota 30% itu supaya mereka tidak terpinggir selepas ini.

Hari ini keadaan telah menjadi lazim. Kepimpinan pelapis di pejabat pejabat kerajaan jelas dikuasai kaum wanita. Pelik juga memikirkan perasaan lelaki hari ini..tidak malukah mereka dan tidak rasa tercabarkah mereka. Hadirlah ke satu satu majlis kerajaan, mereka yang berjalan di hadapan dan diiringi adalah wanita wanita sementara lelaki hanya mengisi barisan belakang dan jelas semakin redha dan patuh dipimpin kaum wanita di pejabat.

Bimbanglah pada keadaan ini kerana tanpa semua sedar jati diri lelaki akan terus merundum pabila kuasa kepimpinan masyarakat tidak lagi berada didalam tangan mereka. Ada yang berkata, perkara ini harus didedahkan secara agresif agar lelaki bangkit dan rasa tercabar. Malangnya, hari ini keadaan ini dibiarkan dan disenyapkan tanpa diketahui apa motifnya. Mungkin ada pihak pihak tertentu yang terlalu taksub mahu melihat wanita mengusai segala bidang dan menjadi pemimpin maka memaksa perkara ini didiamkan agar kaum lelaki tidak sedar yang mereka menuju ke arah penindasan dari kaum wanita pula satu hari nanti.

Lelaki tidak sedar proses menghantar mereka ke ceruk ceruk rumah menjadi suri rumah telah pesat berjalan sambil kuasa sebagai ketua keluarga juga semakin terhakis kerana tiada lagi daya pimpinan pada mereka malah ditambah dengan pendapatan/gaji isteri yang jauh lebih tinggi dari mereka.

Oleh itu cabaran harus dilontar untuk membangkitkan semula semangat kaum lelaki hari ini. Jangan biarkan mereka yang punya agenda tertentu terus membutakan masyarakat dengan perkara ini kerana bimbang semua wanita akhirnya dipaksa menjadi pemimpin atau lebih buruk memperlekehkan kaum lelaki hingga lelaki menjadi sangat takut dan patuh pada wanita.Pada ketika itu..nescaya akan semakin mundurlah kita di Malaysia amnya, dan umat Islam khasnya.
Wallahualam




No comments:

Share |
Related Posts with Thumbnails