29 September 2010

Lelaki Lombok - Apa Yang Istimewa?

ADA apa pada jejaka Lombok? Hendak dikatakan kacak bergaya, ia agak subjektif. Kalau hendak dibanggakan kerana hartanya, kehidupan mereka di sini pun tidak menentu. Lagak dan gerak-geri lelaki Lombok ini turut diibaratkan sudah diberi betis inginkan paha. Sudah diberi peluang mencari rezeki di sini bagi menampung keluarga di sana, anak gadis tempatan pula yang hendak dibawa lari.


Namun, ada pihak tidak menyalahkan lelaki Lombok semata-mata kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang dan beralih menuding jari bahawa anak gadis tempatan zaman ini amat leka, malah rela dipujuk rayu pendatang asing sehingga nekad meredah laut.


"NASI lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kekasih hamba turutkan." Terngiang-ngiang di telinga mengenai pantun empat kerat itu kala menatap satu demi satu kisah gadis tempatan yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata untuk membuktikan cinta sejati kepada pendatang asing terutama dari wilayah Lombok, Indonesia. Pelbagai janji manis dan kisah mengenai kehidupan menarik di pesisiran pantai Lombok dihamburkan hingga menyebabkan gadis tempatan mudah termakan pujukan mereka lalu rela mengharungi pelbagai rintangan untuk hidup bersama di wilayah itu.


Namun, panas yang diharapkan hingga ke petang tidak kesampaian apabila menyaksikan sendiri realiti hidup masyarakat di sana yang majoritinya berteraskan pertanian dengan pendapatan dikatakan RM15 sehari.Lalu, mulalah gadis ini mencari jalan dan berusaha untuk pulang berikutan tidak tahan dengan kedaifan yang melanda diri kerana sudah terbiasa hidup senang di tanah air sendiri.


Justeru, muncul beberapa badan kerajaan yang tampil untuk membantu membawa pulang gadis itu ke pangkuan masing-masing. Malangnya apabila ada segelintir remaja dan wanita tempatan yang tidak menghiraukan laporan media setiap hari mengenai gejala itu, sebaliknya sanggup membutakan mata dan tuli telinga demi mengikut perasaan sendiri.


Diharapkan wanita Malaysia lebih berhati hati dengan pujuk rayu warga asing selepas ini.


Wassalam


No comments:

Share |
Related Posts with Thumbnails