Tanpa hari ini, maka tiadalah semalam dan esok. Insyaallah catatan disini akan membawa seribu makna kepada semua kelak.
Lelaki Metroseksual Vs Lelaki Uberseksual
Lelaki Lombok - Apa Yang Istimewa?
ADA apa pada jejaka Lombok? Hendak dikatakan kacak bergaya, ia agak subjektif. Kalau hendak dibanggakan kerana hartanya, kehidupan mereka di sini pun tidak menentu. Lagak dan gerak-geri lelaki Lombok ini turut diibaratkan sudah diberi betis inginkan paha. Sudah diberi peluang mencari rezeki di sini bagi menampung keluarga di sana, anak gadis tempatan pula yang hendak dibawa lari.
Namun, ada pihak tidak menyalahkan lelaki Lombok semata-mata kerana jika tiada angin masakan pokok bergoyang dan beralih menuding jari bahawa anak gadis tempatan zaman ini amat leka, malah rela dipujuk rayu pendatang asing sehingga nekad meredah laut.
"NASI lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, buang emak buang saudara, kerana kekasih hamba turutkan." Terngiang-ngiang di telinga mengenai pantun empat kerat itu kala menatap satu demi satu kisah gadis tempatan yang sanggup meninggalkan keluarga semata-mata untuk membuktikan cinta sejati kepada pendatang asing terutama dari wilayah Lombok, Indonesia. Pelbagai janji manis dan kisah mengenai kehidupan menarik di pesisiran pantai Lombok dihamburkan hingga menyebabkan gadis tempatan mudah termakan pujukan mereka lalu rela mengharungi pelbagai rintangan untuk hidup bersama di wilayah itu.
Namun, panas yang diharapkan hingga ke petang tidak kesampaian apabila menyaksikan sendiri realiti hidup masyarakat di sana yang majoritinya berteraskan pertanian dengan pendapatan dikatakan RM15 sehari.Lalu, mulalah gadis ini mencari jalan dan berusaha untuk pulang berikutan tidak tahan dengan kedaifan yang melanda diri kerana sudah terbiasa hidup senang di tanah air sendiri.
Justeru, muncul beberapa badan kerajaan yang tampil untuk membantu membawa pulang gadis itu ke pangkuan masing-masing. Malangnya apabila ada segelintir remaja dan wanita tempatan yang tidak menghiraukan laporan media setiap hari mengenai gejala itu, sebaliknya sanggup membutakan mata dan tuli telinga demi mengikut perasaan sendiri.
Diharapkan wanita Malaysia lebih berhati hati dengan pujuk rayu warga asing selepas ini.
Wassalam

Kuala Lumpur Dicemari - 'Money Boy' Kembali

Walaupun beberapa tahun lalu kegiatan itu didedahkan media, tetapi golongan itu didapati masih menjalankan kegiatan terkutuk itu. Modus operandi dijalankan ialah Money Boy akan melepak sekitar kaki lima Jalan Raja Laut bermula dari Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hingga ke kawasan sekitar Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara jam 9 malam dan 2 pagi sambil menunggu kereta yang akan berhenti di kaki tepi jalan.
Golongan itu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun akan datang ke kereta yang berhenti di tepi jalan dan menjalankan aktiviti tawar menawar sebelum mereka dibawa ke rumah sendiri atau hotel murah sekitar Kuala Lumpur. Tinjauan selama empat malam mendapati dakwaan orang ramai itu ada kebenarannya apabila kira-kira 20 Money Boy menunggu pelanggan di sekitar Jalan Raja Laut yang lebih dikenali golongan itu sebagai ‘Jurassic Park’.
Dalam menjalankan urus niaga hanya Money Boy yang akan mendekati kenderaan pelanggan selepas mereka percaya kereta yang berhenti di tepi jalan mahu mendapatkan khidmat seks. Money Boy agak licik kerana tidak akan melayan pemandu yang memanggil mereka untuk mendapatkan khidmat seks songsang.Dalam tinjauan itu juga, Money Boy didapati akan menaiki kenderaan yang berhenti di tepi jalan dan akan pulang beberapa jam kemudian. Seorang Money Boy dikatakan mengenakan bayaran RM80 kepada pelangannya dan akan melakukan kegitan seks songsang mereka di hotel murah atau rumah

Nicol David - Ikon Sukan Terbaik Malaysia


3 penjenayah Paling Popular Di Malaysia


Iktibar Dari Kejadian Menimpa Datuk Sosilawati

Buat masa sekarang, masih ramai yang terkejut dan berasa simpati atas kejadian yang menimpa Datuk Sosilawati. Sesungguhnya kejadian seperti ini amat mendukacitakan kita dan Suri amat berharap hukuman yang setimpal dikenakan pada mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini. Dalam pada itu, diharapkan seluruh keluarga beliau bersabar dalam menempuh dugaan dari Allah SWT.
Buat kita diluar ini, mungkin disebalik kejadian, ada pengajaran dan iktibar yang boleh diambil oleh kita dalam menempuh kehidupan seharian kita. Apa yang paling jelas adalah dari segi kepercayaan kita terhadap orang lain termasuk dikalangan mereka yang kita kenali. Bukanlah bermaksud semua orang tidak boleh kita percayai, namun sikap berhati hati perlu sentiasa wujud kerana di akhir zaman ini, manusia boleh melakukan apa sahaja sesama manusia dan tidak mustahil mereka yang berfikiran seperti binatang ini berada berhampiran kita contohnya di pejabat, jiran kita dan sebagainya.
Pengajaran lain yang dapat kita lihat ialah bagaimana kerana wang boleh membuatkan seseorang itu menjadi tidak waras dan tamak. Kerana wang seseorang itu sanggup membunuh orang lain. Semua ini berlaku kerana sikap sesetengah individu yang terlalu mimikirkan soal wang dan dalam masa yang sama meninggalkan ajaran agama mereka. Tidak kira apa jua agama yang anda anuti, jika pegangan anda itu kukuh, perkara seperti ini tidak akan berlaku kerana tiada satu pun agama di muka bumi yang mengajar penganutnya untuk berbunuhan sesama manusia.
Akhir sekali, Suri tetap ingin merakamkan ucapan penghargaan buat PDRM kerana berjaya menyelesaikan perkara ini dalam tempoh yang singkat. Semoga keberkesanan seperti ini turut dapat diguna pakai untuk semua kes – kes jenayah di tanah air kita tanpa mengira status mangsa sama ada seorang Dato, selebriti dan sebagainya.
P/S : Polis masih mengumumkan secara rasmi hasil Ujian DNA ketika artikel ini ditulis. Bersama lah kita berdoa untuk rakan sesama Islam agar segalanya dapat diselesai dengan segera. Jika benar beliau dan rakan rakan nya telah mati dibunuh, bersamalah kita mendoakan agar roh mereka yang terlibat dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Kelebihan Puasa Sunat 6 Hari Bulan Syawal
Setelah selesai kita berpuasa sebulan di bulan Ramadan, hari ini kita menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pada hari raya kedua, ramai juga yang mula berpuasa sunat Syawal.
Mari kita lihat apa kelebihan puasa sunat 6 hari Bulan Syawal:
Kesempurnaan ibadat seseorang Islam bukan sekadar terletak kepada amalan-amalan fardhu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T., malah ia turut ditampung oleh amalan-amalan sunat di dalam memperindahkan lagi mutu ibadat yang dilakukan.
Seumpama solat yang menjadi amalan terawal dihisab di Padang Mahsyar kelak, dinilai terlebih dahulu akan solat wajib yang dilakukan, dan jika terdapat kekurangan, ia akan dilihat melalui amalan solat sunat bagi menampung mana-mana kekurangan solat fardhu. Begitu juga amalan berpuasa. Kecantikan puasa wajib Ramadhan jika ditambah dengan puasa-puasa sunat adalah terlebih indah dan baik daripada hanya bergantung kepada puasa Ramadhan semata-mata.
Terdapat banyak jenis puasa-puasa sunat yang boleh dilaksanakan seperti berpuasa sunat hari Isnin dan Khamis, puasa 10 Muharram, puasa tiga hari dalam sebulan dan puasa enam hari di bulan Syawal.
Menjadi kebiasaan kepada orang-orang Islam di Malaysia berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal selepas mereka menamatkan puasa sebulan Ramadhan kerana meyakini ganjaran dan pahala yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T.
Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah ). Imam al-Syafie menjelaskan bahawa hadith ini adalah hadith sahih.
Imam al-Tabrani pula ada mengeluarkan di dalam susunan hadithnya yang turut berkaitan dengan fadhilat puasa enam Syawal maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti kemudiannya puasa enam hari dalam bulan Syawal, keluarlah dari dirinya segala dosa seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya”
Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan dilakukan enam hari berturut-turut.
Ini tidak pula bermakna, jika seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan) atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan dikira sebagai satu ibadah juga.
Perlu difahami bahawa yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.
Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.
Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6 hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan 2 bulan samalah seperti puasa setahun.
Apakah hukumnya jika seseorang itu berniat untuk qadha puasanya dan dibuat 6 hari dalam Syawal adakah akan mendapat pahala puasa 6 Syawal?
Syeikh al-Marhum Atiyyah Saqar (salah seorang ulama terkenal al-Azhar) di dalam kitab himpunan fatwanya ada menyebut bahawa hukumnya dibolehkan kepada seseorang untuk qadha puasanya dan ditunaikan 6 hari dalam bulan Syawal dengan niat qadha, maka terhasillah baginya pahala qadha dan pahala puasa 6 Syawal. Tetapi yang lebih afdhal ialah diasingkan antara puasa qadha dan puasa 6 Syawal kerana puasa qadha itu hukumnya wajib dan puasa Syawal itu hukumnya sunat, maka adalah lebih baik tidak disatukan niat kerana antara yang sunat dan wajib itu tidak boleh disatukan.
Para ulama mazhab Syafie menyebut bahawa pahala puasa 6 Syawal itu akan terhasil juga apabila seseorang itu melakukan puasa qadha selama 6 hari walaupun niatnya adalah qadha dan bukan niat puasa 6 Syawal, tetapi pahalanyanya untuk puasa 6 Syawal itu kurang sedikit. Ini menurut kata-kata Imam al-saya’rawi “Jika seseorang itu berpuasa di dalam bulan Syawal sebagai qadha daripada puasa Ramadhan atau puasa nazar atau lain-lain puasa sunat, maka akan diperolehi pahala sunat Syawal itu kerana terlaksananya puasa 6 hari dalam bulan Syawal tetapi kesempurnaan pahala tidak diperolehi sepenuhnnya melainkan jika diniatkan untuk puasa sunat 6 hari bulan Syawal”.
Sebagai kesimpulannya, adalah terlebih baik jika puasa sunat 6 Syawal dibuat berasingan dengan puasa lain sama ada qadha, nazar, kaffarah ataupun puasa sunat yang lain. Selesaikan dahulu 6 hari puasa qadha dan ditambah kemudiannya dengan niat puasa 6 Syawal. Ini akan lebih menyeragamkan amal ibadat yang dilakukan agar tidak bercampur aduk antara satu sama lain.
Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia.
Ia juga sebagai satu cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat secara istiqamah dan berpanjangan.
Wassalam

Bagaimana Saat Kematian Yang Akan Kita Lalui
Dikisahkan ketika Allah mencipta Al-Maut (kematian) dan menyerahkan kepada Izrail, maka berkata malaikat Izrail, “Wahai Tuhanku, apakah Al-Maut itu?”. Maka Allah menyingkap rahsia Al-Maut itu dan memerintah seluruh malaikat menyaksikannya. Setelah seluruh malaikat menyaksikannya Al-Maut itu, maka tersungkurlah semuanya dalam keadaan pengsan selama seribu tahun. Setelah para malaikat sedar kembali, bertanyalah mereka, “Ya Tuhan kami, adakah makhluk yang lebih besar dari ini?” Kemudian Allah SWT berfirman: “Akulah yang menciptakannya dan Akulah yang lebih agung daripadanya. Seluruh makhluk akan merasakan Al-Maut itu”.
Kemudian Allah memerintahkan Izrail mengambil Al-Maut. Walau bagaimanapun, Izrail khuatir jika tidak terdaya untuk mengambilnya sedangkan Al-Maut lebih agung daripadanya. Kemudian Allah memberikannya kekuatan, sehinggalah Al-Maut itu menetap di tangannya. Malaikat Izrail diberi kemampuan yang luar biasa oleh Allah hingga barat dan timur dapat dijangkau dengan mudah olehnya.
100 hari sebelum kematian – Ini adalah tanda pertama dari Allah kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil.
40 hari sebelum kematian – Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arasy Allah. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih akan merasakan seakan-akan bingung seketika.
7 hari sebelum kematian – Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba ianya berselera untuk makan.
3 hari sebelum kematian – Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.
1 hari sebelum kematian – Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasanubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Hari kematian – Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Baginda Rasullullah S.A.W bersabda, “Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu”.
Sambung Rasullullah S.A.W. lagi, “Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail. Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak tu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya”.
Sama-sama kita renungkan.
Pelajar Lelaki Pupus di IPTA?
Beberapa orang pelajar lelaki yang berat untuk bersetuju dengan pandangan nakal ini melahirkan rasa bosan dan tidak begitu selesa dengan sistem pendidikan negara yang didakwanya tidak praktikal. Sistem persekolahan bermula dari sekolah rendah yang disogokkan dengan 'belajar setakat hendak lulus periksa" selain daripada pembelajaran yang lebih tertumpu kepada membaca dan hafal dilihat tidak relevan dan tidak memenuhi minat mereka. Kaedah pembelajaran lelaki sebenarnya lebih menjurus kepada hands on dan tidak setakat membaca dan menghafal yang seterusnya dimuntahkan dalam kertas jawapan peperiksaan. Selepas
itu, dalam banyak keadaan apa yang dipelajari selama empat tahun di universiti sebenarnya tidak membantu langsung dalam pemilihan dan perkembangan kerjaya mereka.
Justeru itu, kebanyakan penuntut lelaki mencari jalan keluar dengan memilih bidang pekerjaan atau melanjutkan pengajian di institusi lain seperti Institut Kemahiran, Institut Latihan Perindustrian (ILP), politeknik dan sebagainya. Ini disokong oleh fakta bahawa bilangan
pelajar lelaki yang mengikuti pengajian vokasional atau teknikal di Politeknik dan Kolej Komuniti mewakili 60 peratus. Menyedari keadaan ini, Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya membina lebih banyak institusi serupa ini agar dapat memenuhi keperluan pelajar lelaki. Bagaimanapun, ini tentunya berbeza dengan pelajar perempuan yang kelihatannya lebih berminat serta tekun untuk membaca dan menghafal segala fakta dan teori yang terkandung dalam buku teks.
Walaupun dianggap kes terpencil, namun pelajar yang hebat dalam akademik tidak dinafikan banyak yang gagal dalam mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam dunia pekerjaan sebenar. Kaedah pembelajaran "kakaktua" ini bukanlah sesuai lagi dalam keadaan sekarang.
Apabila isu kekurangan penuntut lelaki di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ini ditimbulkan sekali lagi berkenaan jurang perbezaan yang semakin melebar memang sudah dijangka kerana sejak tempoh lima tahun lalu, dominasi penuntut perempuan di IPTA memang sudah ketara. Cuma apa yang lebih mengejutkan kini ialah trend penguasaan pelajar lelaki dalam bidang teknikal termasuk kejuruteraan di universiti awam kian merosot tetapi didominasi pula oleh pelajar perempuan. Fenomena fakta bahawa bilangan lelaki yang memang lebih sedikit berbanding perempuan di negara ini sekarang walaupun boleh diterima sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada fenomena ini, faktor- faktor lain yang berkait rapat sewajarnya dikenal pasti dan seterusnya ditangani.
Meletakkan pelajar lelaki dalam kelompok yang bermasalah sosial tentunya tidak adil justeru bilangan mereka yang terbabit dalam jenayah dan penagihan dadah begitu kecil jika dibandingkan dengan penduduk negara ini yang berjumlah 26 juta orang. Masalah keluarga yang kurang berkemampuan untuk membiayai pengajian universiti selain daripada tekad pelajar lelaki yang lebih cenderung untuk mencari pekerjaan bagi menanggung adik beradik yang lain juga turut menyumbang kepada keadaan ini. Pandangan sebahagian besar ibu bapa bahawa anak perempuan wajar mempunyai kerjaya yang boleh memperuntukkan lebih masa dengan keluarga juga turut menyumbang kepada jurang perbezaan ini. Justeru itu anak-anak perempuan digalakkan untuk memilih bidang yang bersifat akademik dan tidak menghairankan jumlah mereka terus meningkat di universiti.
Malah ada pandangan yang menyatakan sistem meritokerasi yang di amalkan sejak beberapa tahun lalu menjadi punca kepada jurang yang semakin melebar ini. Walaupun ada saranan supaya sistem kuota digunapakai bagi membendung fenomena ini, namun ia bukanlah langkah terbaik. Membenarkan pelajar lelaki masuk ke IPTA atas alasan menyempitkan jurang dengan mengorbankan aspek kualti dan minat hanya akan meruntuhkan imej universiti sebagai penjana graduan cemerlang dan berkualiti. Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat, bukan mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPTA. Persaingan secara sihat untuk mendapat tempat di mana-mana IPT harus diteruskan kalau kita mahu melahirkan modal insan yang benar-benar
cemerlang.
Namun begitu apa yang digusarkan ialah masalah ini jika dibiarkan berlarutan bakal melahirkan masalah ketidakseimbangan dari segi pekerjaan pula. Ramai lelaki mungkin terpaksa menjadi suri rumah pada masa depan jika fenomena pelajar perempuan menguasai IPT terus berlaku. Suka tidak suka dan mahu tidak mahu satu hari nanti wanita yang berkerjaya tinggi akan berkahwin dengan mana-mana lelaki yang lebih rendah taraf kerjayanya hatta termasuk mereka yang tidak bekerja. Akhirnya, akan berlaku fenomena lelaki duduk di rumah menjaga anak dan rumah tangga manakala wanita keluar bekerja. Fenomena ini telah pun berlaku sekarang walaupun kelihatannya tidak manis dan menyalahi adat. Kalau tidak pun bilangan wanita yang berjawatan tinggi akan semakin ramai kekal bujang kerana tidak menemui lelaki yang setaraf dengan mereka dan fenomena ini sedang berlaku dengan pesatnya
Menghayati Idulfitri
Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
Setelah umat Islam berusaha selama sebulan penuh di bulan Ramadhan mengekang nafsu dari melakukan perkara yang ditegah semasa menunaikan ibadah puasa sama ada yang haram atau yang harus di lakukan di luar puasa, sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal iaitu hari kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan.
Sememangnya telah menjadi tradisi bagi masyarakat kita sambutan Idulfitri ini lebih meriah dari hari-hari kebesaran Islam yang lain umpamanya Idul Adhha, yang juga salah satu perayaan yang besar dalam agama kita. Berlainan halnya dengan masyarakat Islam lain seperti di Timur Tengah, bagi mereka Hari Raya Adhha lebih dimeriahkan dan mendapat perhatian dari Idulfitri.
Ketetapan awal Syawwal bagi negara kita adalah berpandukan penglihatan anak bulan. Jika ia berhasil dilihat maka awal Syawal jatuh pada hari tersebut dan kita diharamkan berpuasa pada siang hari esok. Sebaliknya jika anak bulan Syawal tidak kelihatan maka kita wajib meneruskan puasa pada esok hari. Ketentuan ini perlu difahami oleh kaum muslimin khasnya di negara kita. Ada segelintir masyarakat kita jika tidak kelihatan anak bulan Syawal maka mereka tidak akan berpuasa pada esoknya. Di antara alasan mereka ialah berpandukan negara lain yang sudah jatuh bulan Syawwal. Perkara ini sebenarnya tidak tepat menurut hukum syara’oleh itu ikutilah keputusan pihak yang berwajib di negara kita mengenai hal ini.
Idulfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin dan juga merupakan satu syiar maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang perlu diikuti sepertimana yang telah digarispandukan oleh syara’.
Di negara kita khususnya sebaik saja diumumkan bahawa hari raya telah jatuh pada malam tersebut sejurus itulah kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi meyemarakkan musim perayaan ini. Pada kebiasaannya perkara ini dilakukan oleh golongan muda dan kanak-kanak. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus berkumandang diikuti dengan pesta-pesta sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya.
Perkara ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Walhal umat Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut itu.
Padahal di dalam Islam itu sudah ada diperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini.
Apabila sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawwal telah sabit dilihat umat Islam disunatkan untuk melaungkan takbir. Hukum sunat ini berlarutan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan sembahyang hari raya. Walau bagaimanapun menurut pendapat yang ashah bahawasanya takbir Idulfitri itu tidak disunatkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang.(Kitab Hasyiyatan, 1:357) Ini berbeza dengan takbir bagi Hari Raya Adhha di mana ia disunatkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang dan berterusan sehingga selepas menunaikan sembahyang Ashar pada hari Tasyriq yang terakhir.
Takbir pada hari ini disyariatkan bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya bahkan lebih dari itu ialah merupakan lambang kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan anugerah yang dikurniakanNya dan ianya juga adalah merupakan perkara ibadah.
Mereka yang menghidupkan malam ini akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana malam Idulfitri adalah di antara malam-malam yang sunat dihidupkan dan di takmirkan selain dari malam-malam Idul Adhha, awal Rejab dan Jumu‘ah kerana di dalamnya adalah saat dan ketika dikabulkan doa.
Al-Syaikh Qulyubiy di dalam kitab Hasyiyatan telah menyebutkan bahawa sunat hukumnya menghidupkan malam Idulfitri ini dan malam Idul Adhha dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh.
(Kitab Hasyiyata Qalyubiy wa Umairah1:359)
Pada pagi Idulfitri pula disunatkan mandi iaitu berniat kerana kedatangan Idulfitri bukannya sahaja membersihkan diri tanpa disertai niat. Perkara sunat mandi ini bersumberkan hadis yang ditakhrijkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha.
Di samping itu adalah sunat memakai bau-baun yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dan menanggalkan bau yang tidak sedap. Sunat juga memakai pakaian yang paling elok dari pakaian-pakaian yang dia ada dan yang paling afdhal ialah warna putih serta memakai serban. Perkara-perkara sunat ini hanya khusus bagi kaum lelaki. Manakala itu perempuan-perempuan cantik dan yang berkedudukan adalah makruh hukummnya bagi mereka datang ke masjid. Berbeza dengan perempuan tua mereka adalah disunatkan bersama-sama pergi ke masjid tanpa memakai haruman dan sebagainya. (Kitab Al-Raudhah 2:7)
Inilah pendapat mazhab Syafi‘ie tentang perempuan pergi ke masjid. Walaupun di sana ada hadis menganjurkan perempuan untuk sama-sama hadir ke masjid di hari raya ini, tetapi dalam mazhab Syafi‘ie anjuran itu adalah untuk perempuan-perempuan yang sudah tua.
Idulfitri yang juga sebagai menandakan tamatnya tempoh berpuasa, maka disunatkan sebelum pergi ke mesjid untuk menunaikan sembahyang hari raya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas katanya yang maksudnya :
“Adapun Rasulullahu Shallallhu ‘alaihi wasallam tidak keluar (untuk bersembahyang sunat hari raya) pada hari raya Fitrah sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma.”
Menurut riwayat daripada Anas lagi bahawa Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil.
Di dalam kitab Nailul Awthar An-Nakh‘ie ada menyatakan bahawa d
iantara hikmah disunatkan memakan kurma (tamar) itu ialah dengan manis buah tamar itu dapat menguatkan penglihatan yang mana telah berkurangan disebabkan puasa dan juga di antaranya boleh melembutkan hati dan ia adalah yang paling mudah dari yang selainnya. Oleh itu sebahagian dari At-Tabi‘ien menganggap sunat berbuka dengan benda-benda yang manis seperti madu.
Sementara itu di antara hikmah memakannya dengan bilangan yang ganjil telah berkata Al-Mahlab bahawa
perkara itu ialah isyarat kepada keesaan Allah Ta‘ala dan juga adapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya di dalam semua urusan Baginda sebagai jalan bertabarruk dengan demikian itu.
(Fathul Bariy,3:122)
Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya pula adalah perkara yang paling penting dan utama bagi menyambut Hari Raya ini dari perkara-perkara sunat yang lain di dalam merayakan hari raya ini sebagaimana yang di jelaskan oleh pengarang kitab Fathul Bariy. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah bersembahyang”
(Hadis riwayat Al-Bukhariy)
Oleh yang demkian itu perlulah dipastikan semua orang Islam menunaikan sembahyang Idulfitri ini. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikannya di masjid atas urusan-urusan tertentu mereka juga boleh menunaikannya secara bersendirian di rumah atau lainnya menurut pendapat al-mazhab di dalam kitab-kitab Syafi‘ieyah
