Sejak kecil, lelaki dilarang untuk menangis. ‘Kamu lelaki, mana boleh menangis’. Kata-kata itu sering diucapkan orang tua ketika anak lelaki jatuh dari buaian di padang permainan atau diserang demam yang teruk. Yang pasti, kata-kata itu memberi kesan psikologi mendalam sehingga terbawa-bawa di minda lelaki yang dewasa.
Natijahnya, lelaki adalah golongan yang bijak merahsiakan perasaan.

Berasaskan kebimbangan itu, timbul persoalan iaitu benarkah lelaki sejati langsung tidak boleh menangis? Barangkali, inilah persoalan yang bermain di fikiran mereka tatkala mereka berusaha menahan air mata daripada tumpah atau lebih tepat mempertahankan ego mereka.
Jawapannya, tiada salahnya seorang lelaki sejati menangis. Mengapa? Ini kerana mengekspresikan emosi itu sendiri punya kebaikannya. Apabila anda meluahkan emosi dengan menangis, ia dapat melegakan ketegangan dalaman atau meredakan sebahagian sistem saraf dan mengembalikannya kepada keadaan normal.
Jangan anda fikir kebanyakan wanita akan menganggap anda kurang macho jika anda menangis. Hasil kajian memperlihatkan banyak juga reaksi positif oleh perempuan terhadap lelaki yang menangis.Tambahan pula, menangis membuatkan emosi anda lebih jelas. Luahan emosi yang tidak jelas boleh menjejaskan hubungan kerana bukan sahaja anda tidak pasti apakah perasaan anda bahkan orang lain juga menjadi keliru. Akibatnya, orang lain (terutamanya wanita) akan menganggap kurangnya emosi yang dipertontonkan sebagai tidak berperasaan.
Seorang rakan sekerja perempuan penulis secara spontan dengan menyifatkan lelaki yang menangis menampilkan kejujuran dan keberanian kerana sanggup melepaskan ego demi apa yang mereka rasai. Ia jauh daripada imej stereotaip lelaki yang digambarkan ‘keras’.
Kenapa tangisan lelaki dikatakan jujur? Ini kerana, lelaki sejati hanya menangis dalam situasi yang benar-benar menyentuh hati mereka.
Kajian sebuah majalah terkemuka pada tahun lalu menunjukkan wanita biasanya menangis kerana tidak dapat mengawal perasaan marah, takut dan kecewa berbanding lelaki. Di sebalik ‘kegagahan’ lelaki, kaum Adam ini dikatakan lebih mudah menangis apabila berasa terlalu bahagia atau terlalu pilu.
Terdapat kisah seorang isteri dalam sebuah forum berbahasa Inggeris.
“Suami saya telah menjadi tentera laut selama lapan tahun dan saya tidak pernah mempersoalkan kegagahannya untuk mempertahankan negara. Tetapi, dia boleh menjadi begitu sensitif dan mudah menangis pada perkara yang amat memilukan dan membahagiakan.
“Dia menangis pada hari perkahwinan kami, ketika anak perempuan saya dilahirkan dan apabila anak-anak saya mengucapkan perkataan buat kali pertama. Saya menyifatkannya satu anugerah mengagumkan apabila dia mempunyai emosi yang mudah tersentuh, namun masih gagah dan macho.”
Kesimpulannya, tiada salahnya untuk lelaki menangis. Tetapi biarlah tangisan itu kena pada tempat dan masanya serta yang penting, tidak keterlaluan.
Bagaimanapun, satu kajian terbaru menunjukkan bahawa air mata lelaki kini lebih diterima berbanding perempuan. Kajian ke atas 284 orang itu mendapati, tangisan lelaki lebih dilihat positif kerana mencerminkan kejujuran sedangkan tangisan perempuan pula dilihat sebagai hilang kawalan.
Menurut kajian, televisyen juga memainkan peranan dalam hal ini. Program hiburan seperti realiti TV dan drama juga semakin banyak memperlihatkan lelaki menangis.
Apapun jangan lah sekali-kali menagis pada tempat yang tidak kene ye..

No comments:
Post a Comment